TUARAN: Hormati guru, dengar nasihat ibu bapa dan sentiasa berusaha memperbaiki diri, itu tiga pesanan Datuk Mohammad Ghazali Hajiji kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Berungis ketika merasmikan Program BEKAL ILMU di sekolah itu hari ini.
Ghazali berkata, setiap murid mempunyai kekuatan tersendiri. Beliau mengingatkan mereka supaya terus berusaha dan berdisiplin dalam mengembangkan kebolehan masing-masing, termasuk ketika berdepan kesukaran.
“Ada yang cemerlang dalam akademik, ada yang berbakat dalam bidang sukan, ada yang mempunyai kemahiran kepimpinan dan ada juga yang mempunyai kreativiti yang luar biasa,” katanya dalam ucapan perasmian.
Ghazali, Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Penasihat Persatuan Permuafakatan Pendidikan PPD Tuaran, turut menyampaikan pesanan khusus kepada ibu bapa.
“Kepada ibu bapa, teruskanlah memberikan sokongan kepada pihak sekolah, sentiasa ambil tahu perkembangan anak-anak dan berikan perhatian terhadap pembelajaran mereka,” katanya.
Pada majlis itu, murid terpilih menerima kelengkapan persekolahan. Sumbangan turut diserahkan secara simbolik kepada pihak sekolah. Ghazali berharap murid yang menerima kelengkapan berkenaan dapat menggunakannya sebaik mungkin dalam pembelajaran harian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Berungis, XPERTS.MY dan Promajadi Sdn. Bhd. atas usaha menjayakan program berkenaan.
Hadir sama ialah Guru Besar SK Berungis, Eke Andreas Junior, dan Yang Dipertua PIBG SK Berungis, Shaharuddin bin Said. Turut hadir ialah Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah, Murkam Haji Hussien, Penyelaras Program BEKAL ILMU, Mohd Rahmat bin Muhat Anuar, serta wakil XPERTS.MY.






