Nabawan Diisytihar Bencana Banjir, Guru dan Tujuh Pelajar Diselamatkan

Nabawan Diisytihar Bencana Banjir, Guru dan Tujuh Pelajar Diselamatkan

0
SHARE

NABAWAN: Daerah Nabawan diisytiharkan mengalami bencana banjir berkuat kuasa jam 7.30 malam ini, susulan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi berkaitan.

Pegawai Daerah Nabawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Ts. Marshal Anthony memaklumkan pengisytiharan itu menerusi kenyataan rasmi hari ini.

“Berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Nabawan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang guru wanita dan tujuh pelajar perempuan berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Pamunterian, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, PBT II Azran Jull mengetuai operasi pemindahan selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 2.01 petang.

“Kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat ke Asrama Sekolah Kebangsaan Pamunterian, Nabawan menggunakan sebuah bot penyelamat,” menurut laporan operasi berkenaan.

Kesemua mangsa dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas mengikuti lawatan sambil belajar di Kundasang.

Operasi melibatkan lima anggota bomba dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum ditamatkan pada jam 4.27 petang.

Pemantauan di lokasi kejadian akan diteruskan dari semasa ke semasa.