PAPAR, SABAH – Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan dasar subsidi bersasar yang akan hadir bersama jaminan bantuan sosial termasuk bantuan tunai subsidi bersasar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementeriannya turut komited untuk membantu kerajaan melaksanakan agenda subsidi bersasar yang berteraskan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Dasar subsidi bersasar tidak bermaksud bahawa subsidi akan ditarik sepenuhnya. Sebaliknya, ia melibatkan reformasi dalam pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.
“Bentuk dan jumlah bantuan sosial bukan hanya akan melibatkan aspek pendapatan, tetapi juga jumlah komitmen tanggungan.
“Ini penting untuk menangani isu berbangkit berkaitan kos sara hidup rakyat. Pertimbangan dan penentuan jumlah bantuan sosial ini akan berpandukan kepada data PADU,” kata beliau.
Tambah Armizan, selain reformasi ekonomi dalam konteks tidak melibatkan subsidi pukal, agenda berkenaan juga datang dalam reformasi bantuan sosial dalam masyarakat supaya lebih adil.
“Contohnya, perbelanjaan kerajaan tahunan bagi tahun 2023 mencecah RM81 bilion subsidi termasuk bantuan tunai.
“Tetapi masih ada rakyat iaitu penerima bantuan kebajikan am hanya pada kadar RM300 sebulan, ada juga pesakit terlantar pula menerima RM500 sebulan sahaja.
“Inilah bentuk komponen yang kita akan lihat dalam reformasi bantuan sosial kita adakah mereka hanya perlu diberi bantuan RM300 dan RM500 sedangkan mereka ada tanggungan dan tidak mempunyai kudrat untuk bekerja,” dedah beliau.
Mengulas lanjut kata Armizan, pelaksanaan dasar subsidi bersasar dan reformasi bantuan sosial itu memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan seluruh rakyat membuat verifikasi maklumat profil individu dan isi rumah menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, mulai 2 Januari depan.
“Saya menggesa semua rakyat untuk membuat pendaftaran sistem PADU yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 2 Januari 2024 dan sekali gus membuat verifikasi maklumat profil individu dan isi rumah.
“Kerajaan akan membuka ruang selama tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat.
“Saya juga menggesa semua pihak memberikan kerjasama, bukan sekadar agensi persekutuan malah kerjasama daripada semua kerajaan negeri hingga ke peringkat daerah dan kampung amat diperlukan dalam konteks mempromosi dan menguar-uarkan kepada masyarakat untuk mendaftar dan membuat verifikasi dalam sistem PADU.
“Kerajaan juga akan membuka ruang pendaftaran secara online dan juga manual untuk membolehkan masyarakat di luar dan pedalaman tidak akan tercicir.
“Jadi peranan cukup penting daripada semua komponen masyarakat adalah penting termasuk semua JPKK dan ketua kampung untuk memastikan komuniti di kawasan masing-masing tidak tercicir.
“Bila bantuan sosial itu akan bermula akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri namun fasa pertama ini adalah verifikasi data amat penting dalam sistem PADU,” jelas beliau.
Mengenai kebimbangan masyarakat terhadap sistem akan digodam, Armizan memaklumkan, kerajaan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan sistem terbabit kerana fokus kerajaan untuk memastikan sistem PADU adalah komprehensif.
“Sistem ini bukanlah sistem baharu yang datangnya kosong tetapi data-data kerajaan sedia ada seperti e-kasih sudah ada.
“Data-data ini bermula tahun lepas MAMPU, Kementerian Ekonomi dan ICU sudah mula diintegrasikan termasuk zakat, baitulmal dalam PADU.
“Kementerian yang bertanggungjawab terhadap sistem ini adalah Kementerian Ekonomi melalui Jabatan Perangkaan dan juga MAMPU di bawah Kementerian Digital, mereka akan memberikan maklumat terperinci mengenai dengan sistem ini.
“Namun, saya fikir rakyat perlu ada keyakinan kerana sistem ini tidak akan diintegrasikan dengan akaun bank jadi jangan risau dengan scammer kecuali anda sendiri memilih untuk klik pautan scam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan turut mengingatkan masyarakat agar tidak berlengah untuk mendaftar Identity Digital National (IDN) bagi membolehkan akses ke atas sebarang perkhidmatan dalam kerajaan secara digital.
Beliau berkata demikian kepada media dalam Program Fun Hike Keluarga Samad 2023 di Bukit Bendera dekat sini, hari ini.
Hadir sama, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah, Setiausaha Sulit Menteri KPDN dan Kos Sara Hidup, Roslie Ibrahim serta waris keluarga Samad.
Perhimpunan keluarga besar Samad merupakan lanjutan perhimpunan di SMK Pengalat, Oktober tahun lepas yang bertujuan mengeratkan silaturahim sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
Kira-kira 3,000 orang hadir dalam majlis keluarga bersempena Sambutan Tahun Baharu 2024 dan detik 12 malam yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya hiking, karaoke, menanam pokok, cabutan tiket bertuah, jamuan, pertunjukan bunga api dan sebagainya. — JABATAN PENERANGAN SABAH






