WARSAW, POLAND – Atlet rejam lembing Poland Maria Andrejczyk, 25, melelong pingat perak yang dimenanginya pada Temasya Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini untuk mengumpul dana bagi membantu pembedahan jantung bayi berusia lapan bulan.
Andrejczyk bersaing di temasya tahun ini walaupun bergelut dengan kecederaan bahu dan kanser tulang.
Memetik laporan BH Online, penderitaan dialaminya itu membuatkan dia mahu membantu Milosz Malysa yang mempunyai masalah jantung sejak lahir.
“Saya tidak mengambil masa lama untuk memikirkan tentang ini. Ia tabung pertama yang saya jumpa dan saya tahu ia pilihan tepat,” kata Andrejczyk.
Keluarga Milosz mengutip dana untuk membiayai pembedahan di Stanford, California, selepas tiada pilihan di Poland.
Ketika melancarkan tabung kutipan di Facebook, Andrejczyk berkata separuh daripada 1.5 juta zloty (RM1.62 juta) yang diperlukan sudah dikumpul keluarga berkenaan dan dia mahu melengkapkannya.
Zabka, rangkaian kedai serbanika di Poland, memenangi bidaan untuk pingat perak Olimpik itu, tetapi mahu Andrejczyk menyimpannya.
“Kami terharu dengan usaha murni atlet Olimpik berkenaan. Kami memutuskan yang pingat perak dari Tokyo itu akan kekal bersama Maria,” kata jurucakap Zabka.
Setakat semalam, kutipan atlet itu sudah hampir mencapai sasaran yang telah ditetapkannya.