KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim menyifatkan dakwaan Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran deposit tetap Kerajaan Negeri berjumlah RM200 juta kepada Redeemable Preference Shares (RPS) di Sabah Development Bank (SDB) sebagai satu bentuk ‘bailout’ menggunakan wang rakyat adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Azrul berkata, langkah itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan serta transformasi SDB bagi memperkukuhkan kedudukan modal institusi kewangan milik negeri, bukannya suntikan dana baharu menggunakan wang rakyat.
“Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan dan transformasi SDB bagi memperkukuhkan kedudukan modal institusi kewangan milik negeri. Ia bukan suntikan dana baharu daripada wang rakyat, sebaliknya penstrukturan semula aset sedia ada milik Kerajaan Negeri daripada bentuk deposit tetap kepada instrumen ekuiti keutamaan (Redeemable Preference Shares),” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Menurut beliau, pelaburan itu turut berpotensi memberikan pulangan dividen kepada Kerajaan Negeri pada masa hadapan, selain meningkatkan keupayaan SDB untuk terus menyokong pembangunan ekonomi Sabah.
Azrul berkata, ini bukan kali pertama Shafie membangkitkan naratif sensasi yang tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Katanya, sebelum ini Shafie turut cuba mengaitkan Sabah International Petroleum (SIP) dengan skandal 1MDB, namun dakwaan itu telah dijawab secara terbuka oleh Kerajaan Negeri berdasarkan fakta dan penjelasan rasmi.
Beliau turut mengingatkan bahawa ketika mentadbir Sabah, pentadbiran Shafie sendiri menggunakan instrumen pasaran modal menerusi Program Sukuk sehingga had RM10 bilion oleh Sabah Development Berhad (SD Berhad) sebagai mekanisme pembiayaan pembangunan negeri.
“Persoalannya, mengapa apabila pentadbiran beliau menggunakan instrumen kewangan, ia dianggap sebagai strategi fiskal yang wajar, tetapi apabila Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan penstrukturan kewangan yang sah, telus dan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik, ia pula cuba dilabel sebagai ‘bailout’?” katanya.
Azrul berkata, sebagai pemimpin pembangkang, Shafie sememangnya berhak mengkritik kerajaan, namun setiap kritikan sewajarnya berasaskan fakta, konteks dan tanggungjawab terhadap kepentingan negeri.
Beliau berkata, naratif yang tidak tepat bukan sahaja boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat, malah berisiko menjejaskan keyakinan pelabur serta menghakis kepercayaan terhadap institusi kewangan milik kerajaan negeri.
“Rakyat Sabah berhak mendengar perbahasan yang berteraskan fakta, bukannya persepsi. Mereka mengharapkan idea, penyelesaian dan dasar yang mampu memajukan negeri, bukan polemik yang hanya mencetuskan kekeliruan.
“Persaingan politik akan sentiasa wujud, tetapi kepentingan Sabah mesti sentiasa mengatasi kepentingan politik jangka pendek. Hanya dengan pendekatan yang matang, bertanggungjawab dan berpaksikan fakta, kita mampu terus membina keyakinan pelabur, memperkukuh ekonomi negeri dan memastikan pembangunan Sabah berjalan dengan stabil demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.






