Sehingga 31 Disember Ini, Tiada SPM Boleh Mohon Pengajar Sekolah Memandu

Sehingga 31 Disember Ini, Tiada SPM Boleh Mohon Pengajar Sekolah Memandu

0
SHARE
Anthony
Anthony Loke ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Menteri Pengangkutan )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Individu yang berhasrat menjadi tenaga pengajar di institut memandu tetapi tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), boleh memohon mendapatkan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) bermula 1 Julai ini.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pengecualian syarat sementara itu sudah diberikan kelulusan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tempoh selama enam bulan sehingga 31 Disember tahun ini.

Katanya, inisiatif itu antara usaha bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar di institut memandu.

“Ramai pengusaha institut memandu memberi maklum balas bahawa terdapat ramai pemandu berpengalaman dan berhemah yang berpotensi menjadi pelatih yang baik tetapi tidak dapat peluang kerana kekurangan kelayakan SPM.

“Jadi, selepas penelitian terperinci, sukacita saya umumkan bahawa suatu program khas akan diadakan untuk memberi pengecualian kepada pemohon yang tidak memiliki SPM untuk mengikuti kursus SPIM dan menjadi pengajar bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia Ke-4 di sini, hari ini.

Loke berkata, buat masa ini, insiatif terbabit hanya dilaksanakan untuk tempoh enam bulan dan pihaknya sedia pertimbang untuk melanjutkannya jika ada keperluan.

“Sebelum ini, sesiapa sahaja yang mahu menjadi pengajar di institut memandu, perlu memiliki SPM dan itu adalah syarat wajib. Jadi ini yang ramai tak dapat penuhi dan banyak institut memandu beri maklum balas kepada kita.

“Maka kita beri tempoh pengecualian selama enam bulan. Jadi mana-mana yang tak ada SPM, boleh daftar SPIM dan individu itu perlu mengikuti kursus selama dua minggu untuk mendapatkan sijil pengajar itu,” katanya.

Justeru, beliau berharap inisiatif itu dapat membantu ramai yang tidak memiliki SPM, mengambil peluang mengikuti kursus SPIM dan seterusnya menjadi tenaga pengajar yang sah.

“Saya difahamkan setiap tahun kira-kira 700,000 bakal pemandu mendaftarkan diri di salah satu daripada 255 institut memandu di Malaysia manakala institut memandu adalah majikan kepada lebih 15,000 tenaga pengajar dan pekerja.

“Seperti yang disebutkan tadi, dengan pertumbuhan eknomi negara yang positif dan industri institut memandu yang masih mengembang, sudah tentu tenaga pengajar ini perlu ditambah,” katanya.