TENGKU HASSANAL IKUT JEJAK AYAHANDA AL-SULTAN ABDULLAH JELAJAH SABAH

TENGKU HASSANAL IKUT JEJAK AYAHANDA AL-SULTAN ABDULLAH JELAJAH SABAH

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal meneruskan legasi serta semangat jelajah diraja ke Borneo apabila berkenan mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo yang dijadual berlangsung di Sabah bermula 11 hingga 13 Mei ini.

Ekspedisi berkenaan dilihat sebagai kesinambungan kepada program “Kembara Kenali Borneo” yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada tahun 2023 apabila ayahanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong berkenan menjelajah Sabah dan Sarawak untuk mendekati rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Ketika program tersebut berlangsung, Al-Sultan Abdullah dilihat cukup dekat dengan rakyat Sabah dan Sarawak apabila baginda beberapa kali menzahirkan rasa kagum terhadap budaya, keramahan penduduk serta keindahan semula jadi di Borneo.

Malah, suasana mesra sepanjang “Kembara Kenali Borneo” ketika itu turut mendapat perhatian ramai apabila rakyat Sabah dan Sarawak menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda dengan penuh semangat dan kasih sayang.

Kini, semangat sama dilihat diteruskan oleh Tengku Hassanal menerusi Ekspedisi Mahkota Borneo yang bukan sahaja membawa mesej perpaduan dan patriotisme, malah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat di Sabah.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, Tengku Hassanal dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 1 petang pada 11 Mei.

Sebaik tiba di Sabah, baginda dijadual mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bagi bertukar pandangan serta idea berhubung pelbagai perkara termasuk hubungan antara negeri dan pembangunan semangat kenegaraan.

Beliau berkata, ekspedisi tersebut turut melibatkan beberapa program rasmi serta aktiviti bersama pasukan keselamatan negara sepanjang keberadaan Tengku Hassanal di Sabah.

Antara pengisian utama program ialah pendakian Gunung Kinabalu pada 12 Mei bersama pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pegawai pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendakian tersebut dilihat sebagai simbol ketahanan fizikal, disiplin dan semangat kepimpinan yang sentiasa diterapkan Tengku Hassanal khususnya dalam kalangan generasi muda dan anggota keselamatan negara.

Menurut kenyataan itu lagi, Ekspedisi Mahkota Borneo bukan sekadar program jelajah biasa, tetapi turut mencerminkan usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara Sabah dan Pahang di samping menyemarakkan semangat perpaduan nasional.

Pemerhati turut melihat pendekatan Tengku Hassanal yang gemar turun padang dan mendekati rakyat sebagai kesinambungan gaya kepimpinan Al-Sultan Abdullah yang terkenal dengan sifat mesra rakyat sepanjang bergelar Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Dalam masa sama, rakyat Sabah turut dilihat teruja menyambut ketibaan Tengku Hassanal memandangkan hubungan institusi diraja Pahang dengan rakyat di negeri ini semakin erat sejak berlangsungnya “Kembara Kenali Borneo” sebelum ini.

Ekspedisi Mahkota Borneo dijangka menjadi antara program diraja yang mendapat perhatian ramai sepanjang minggu ini, khususnya dalam kalangan rakyat Sabah dan pencinta aktiviti lasak serta kenegaraan.