Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 1 Perkukuh Akar Umbi Sabah

Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 1 Perkukuh Akar Umbi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 17 peserta termasuk tiga wanita dan seorang dari Brunei menamatkan Kursus Sijil Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 1, siri kesepuluh di Sabah.

Program itu mencerminkan usaha memperkukuh pembangunan futsal akar umbi, dengan Sabah kini mempunyai kira-kira 150 jurulatih Tahap 1, 40 Tahap 2 dan hanya seorang Tahap 3.

Ketua jurulatih Azman Soaibah berkata, laluan kejurulatihan merangkumi Tahap 1 hingga Tahap 3, dengan Tahap 3 lebih menyeluruh melibatkan aspek kecergasan dan teknikal, manakala Tahap 1 memberi fokus asas.

Beliau menekankan kepentingan pendedahan awal futsal bagi melahirkan bakat muda, selari dengan perkembangan di negeri maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, pencapaian pemain Sabah termasuk Safar Mohammad dan Iwan Bakri serta kejayaan Sukma menunjukkan perkembangan positif menjelang Sukma 2026. Azman merupakan satu-satunya jurulatih Tahap 3 di Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, berkata futsal kini menjadi sukan kompetitif yang memerlukan standard kejurulatihan moden, sambil menggesa jurulatih terus menambah ilmu seiring perkembangan teknik dan teknologi.