Borneo Safari Angkat Sabah Unggul Pelancongan Lasak

Borneo Safari Angkat Sabah Unggul Pelancongan Lasak

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Safari ke-33, antara acara pacuan empat roda paling dinanti di Asia, sekali lagi mengangkat Sabah sebagai peneraju pelancongan lasak, dengan negeri-negeri lain turut meneliti kejayaannya sebagai model kerjasama dan penganjuran berkesan.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai menyempurnakan upacara pelepasan peserta di hadapan bangunan STB, Gaya Street, menandakan bermulanya ekspedisi selama lapan hari merentasi kawasan pedalaman Sabah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris, yang mewakili jawatankuasa pelancongan negeri bagi mempelajari pendekatan Sabah dalam menganjurkan acara pelancongan berasaskan pengembaraan berskala besar.

Joniston berkata, minat negeri lain untuk memahami cara Sabah memanfaatkan bentuk muka bumi semula jadi serta kerjasama komuniti dalam membangunkan produk pelancongan bertaraf antarabangsa amat menggalakkan.

“Pengalaman Sabah membuktikan bahawa pelancongan lasak boleh menjadi pemangkin aktiviti ekonomi luar bandar sambil memperkukuh identiti negeri sebagai destinasi pencinta alam dan aktiviti luar,” katanya.

Beliau menambah, perkongsian ilmu antara negeri dapat memperkukuh serta mempelbagaikan industri pelancongan negara secara menyeluruh.

Joniston turut memuji Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin, dan jawatankuasanya atas dedikasi serta profesionalisme dalam menguruskan penganjuran acara tersebut.

Borneo Safari tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dengan 640 kenderaan dan peserta termasuk dari 14 negara, dengan China menyertai buat kali pertama.