KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti serta memantau kandungan di media sosial yang mempertikai prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sama ada ia berunsur menghina mahkamah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menegaskan masyarakat diminta supaya tidak membuat sebarang komen terburu-buru sebelum prosiding selesai.
“Kita akan lihat dalam kandungan TikTok atau media sosial lain berhubung perkara berkenaan sebelum tindakan susulan diambil. Harapan kami kepada semua masyarakat, biarlah proses inkues berjalan dahulu sehingga selesai, jangan terburu-buru meninggalkan komen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025, di sini, hari ini.
Prosiding inkues Zara Qairina bagi menentukan punca kematian bermula pada 3 September di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Inkues selama 19 hari itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Koroner, dengan jadual pada 3-4 September, 8-12 September, 17-19 September serta 22 hingga 30 September.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, prosiding tidak akan dipercepat sebaliknya akan berlangsung sebagaimana yang ditetapkan.
“Alhamdulillah setakat ini prosiding berjalan dengan baik. Kita mahu prosiding ini selesai dengan sempurna supaya tiada polemik berterusan sehingga menimbulkan persepsi negatif,” katanya.






