KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, pada Isnin.
Siasatan awal mendapati suspek yang turut merupakan pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.
“Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027,” menurut sumber itu.
Tambah sumber, suspek juga dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan beberapa kontrak di agensi kerajaan sekitar Sabah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang berkaitan kesalahan mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan kontrak.






