Kemahiran Komunikasi Penentu Keberkesanan Pemimpin Menyampaikan Mesej– Azrul

Kemahiran Komunikasi Penentu Keberkesanan Pemimpin Menyampaikan Mesej– Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Keupayaan berkomunikasi dengan baik menjadi antara elemen penting dalam menentukan keberkesanan seseorang pemimpin, khususnya dalam menyampaikan mesej, membina keyakinan serta berhubung dengan masyarakat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, kemahiran komunikasi perlu terus diperkasakan dalam kalangan pemimpin, penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang terlibat dalam politik agar mampu memainkan peranan dengan lebih berkesan.

“Komunikasi menentukan bagaimana corak seseorang pemimpin itu, sama ada menjadi seorang pemimpin yang berkesan ataupun sebaliknya.

Memperkasakan kemahiran komunikasi sangat penting supaya kita dapat menjadi seorang pemimpin yang berkesan, baik dan mempunyai karakter kepimpinan yang sesuai dengan zaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Kursus Komunikasi ‘Speak with Confidence, Deliver with Impact’ anjuran IKRAR yang menampilkan penceramah, jurulatih dan pengacara, Rizal Rashid, di sini, hari ini.

Azrul berkata, sambutan menggalakkan terhadap kursus berkenaan memperlihatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai kepentingan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Menurutnya, program itu disertai peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (JLC), NGO serta mereka yang terlibat dalam politik di Sabah.

Katanya, program pembangunan modal insan seumpama itu bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran peserta, malah membantu memperkukuh kualiti kepimpinan dalam organisasi masing-masing.

“Program hari ini amat signifikan kerana selain meningkatkan kemahiran peserta, ia juga dapat memperkasakan kualiti kepimpinan.

“Baik sebagai penjawat awam, pemimpin NGO mahupun pemimpin dalam parti politik, mereka dapat memainkan peranan sebagai pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Azrul berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai program pembangunan modal insan telah dilaksanakan dengan memberikan tumpuan kepada bidang komunikasi, kepimpinan dan media sosial.

Menurut beliau, usaha berkenaan akan diteruskan secara konsisten memandangkan pemimpin hari ini turut berhadapan cabaran komunikasi dalam landskap media sosial yang semakin kompleks.

Beliau turut memuji pendekatan Rizal dalam mengendalikan bengkel berkenaan yang disifatkan mampu menarik perhatian peserta sepanjang sesi berlangsung.

“Pengisiannya cukup bagus, termasuk bagaimana memperbaiki cara bercakap dan membina struktur ucapan. Beliau mempunyai gaya tersendiri yang mampu membuatkan peserta terus tertarik sepanjang sesi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IKRAR, Dr. Zainuddin Sabu berkata, sambutan terhadap kursus berkenaan melebihi jangkaan penganjur apabila jumlah penyertaan melangkaui sasaran awal kira-kira 400 peserta.

“Pada asalnya kami menyasarkan lebih kurang 400 penyertaan, namun jumlah yang hadir melebihi perancangan dan program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Majoriti peserta terdiri daripada penjawat awam, selain mahasiswa, pimpinan persatuan serta NGO,” katanya.

Zainuddin berkata, sambutan berkenaan menunjukkan program peningkatan kemahiran komunikasi mempunyai keperluan dan nilai yang tinggi, terutama dalam usaha melahirkan pemimpin yang mampu menyampaikan sesuatu mesej dengan baik dan berkesan.

“Kami berharap program seperti ini dapat terus dijayakan pada masa akan datang kerana untuk menjadi seorang pemimpin, kita perlu mempunyai sistem komunikasi yang baik dalam penyampaian,” katanya.