KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026 bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem kredit pengguna lebih telus dan adil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang kepenggunaan bagi memperkasa hak pengguna dalam urusan kredit, khususnya melibatkan perjanjian sewa beli.
Menurutnya, sebelum ini tempoh peralihan selama 18 bulan dicadangkan selepas akta itu diwartakan, namun kerajaan memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaannya selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen.
“Selepas rundingan susulan dibuat, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026,” katanya dalam satu sesi sidang media sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di Pusat Beli Belah Suria Sabah, di sini, pada Ahad.
Majlis perasmian sambutan HPK 2026 yang bertemakan “Suara Kita, Kuasa Kita” telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Armizan berkata, pindaan akta tersebut antara lain memansuhkan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) serta kaedah Peraturan 78 (rule of 78) yang sebelum ini digunakan dalam pengiraan pinjaman sewa beli.
Beliau menjelaskan, melalui pindaan baharu itu, kaedah pengiraan akan menggunakan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) serta Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) yang lebih telus kepada pengguna.
“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pindaan tersebut turut menyokong transformasi digital dalam perjanjian sewa beli termasuk penggunaan tandatangan serta dokumen secara digital dan elektronik.
Tambahnya, keperluan pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti peminjam turut diperkenalkan bagi mengurangkan risiko penipuan dalam urusan kredit.
Dalam pada itu, Armizan berkata institusi perbankan juga akan menawarkan diskaun ihsan (goodwill discount) kepada pelanggan yang membuat penyelesaian awal pinjaman di bawah kaedah lama.
“Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama yang memilih untuk membuat penyelesaian awal bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” katanya.
Beliau berkata reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti serta melindungi kepentingan rakyat.
“Reformasi ini membuktikan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna,” katanya.






