KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu perkhidmatan dan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dinaik taraf dan ditambah baik segera.
Beliau berkata demikian kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika bertemu beliau di Menara Kinabalu pada Khamis.
Ketua Menteri berkata kemudahan dan perkhidmatan di KKIA perlu ditambah baik dan dinaik taraf kerana ia merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong hadir bersama Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, Timbalan Menteri Komoditi dan Perladangan Datuk Chan Foong Hin, Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt, Ketua DAP Sabah Datuk Frankie Phoon, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, ADUN Kapayan Jannie Lasimbang dan Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.
Terdahulu, Hajiji turut mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
