LONDON – Mengecewakan apabila tujuh daripada 19 ahli Parlimen beragama Islam United Kingdom menolak usul gencatan senjata segera di Gaza pada Khamis.
Ahli Parlimen UK mengundi 293 berbanding 125 untuk menolak usul yang dicadangkan oleh Parti Kebangsaan Scotland (SNP).
Usul berkenaan menyeru kerajaan bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel menghentikan pengeboman yang meragut nyawa orang awam terutama kanak-kanak di Gaza.
Keputusan undian itu telah mendedahkan sikap hipokrit beberapa ahli Parlimen United Kingdom (UK) yang beragama Islam berhubung krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin.
Sajid Javid daripada Parti Konservatif yang juga individu Muslim pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan UK pada 2021 mengetuai senarai tersebut.
Beliau merupakan pendatang dari Pakistan malah terkenal dengan sentimen pro-Israel.
Ahli Parlimen beragama Islam lain yang menolak gencatan senjata itu ialah Saqib Bhatti dan Rehman Chishti daripada Parti Konservatif, Rushanara Ali (Parti Buruh), Shabana Mahmood (Parti Buruh), Tulip Siddiq (Parti Buruh) serta Nusrat Ghani (Konsevatif).
Beratus-ratus pelajar berarak ke pejabat Rushanara Ali selepas Ahli Parlimen Bethnal Green itu tidak mengundi gencatan senjata.
Pada sebelah malamnya, orang ramai berkumpul di luar pejabat kawasan pilihan rayanya di timur London sambil melaungkan “Rushanara Ali, awak memang memalukan” sambil memegang sepanduk “Kamu Bukan ahli Parlimen saya, Darah di tanganmu’.
Menjelaskan tindakannya di platform X, Rushanara mendakwa telah lama menyokong gencatan senjata itu.
“Malam ini saya telah berkecuali daripada mengundi usul SNP,” katanya.
Rushanara berkata bersedia untuk meletak jawatan sekiranya itu yang dimahukan pengundi di Bethnal Green.
Sementara itu, Majlis Islam Britain (MCB) turut kecewa dengan keputusan Parlimen kerana percaya pengaruh diplomatik Britain mampu menghentikan pembunuhan kanak-kanak yang tidak bersalah.
“Sejarah akan menilai pemimpin kita, sama seperti 20 tahun lalu dengan pembohongan senjata pemusnah di Iraq.
“Kami memuji mereka yang mengundi untuk keamanan terutamanya mereka yang menghadapi pemecatan kerana memilih kemanusiaan berbanding politik,” kata MCB dalam kenyataan.
Pegawai di Masjid Noor, Burnley, Mubid Dawood, keputusan ahli Parlimen beragama Islam untuk tidak mengundi gencatan senjata di Gaza adalah sesuatu yang amat memalukan.
“Untuk pilihan raya akan datang, pemimpin-pemimpin ini tidak lagi akan dipilih,” katanya.