KPM LULUSKAN PERUNTUKAN 12.5 JUTA DI SK ULU ANSUAN SELEPAS GURU BESAR MENGADU TINGGAL DI...

KPM LULUSKAN PERUNTUKAN 12.5 JUTA DI SK ULU ANSUAN SELEPAS GURU BESAR MENGADU TINGGAL DI STOR

0
SHARE
George
Tangka layar video TikTok George yang memperlihatkan stor tempat beliau menetap ( Sumber Foto: Tangkap layar video TikTok George Odol )

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan meluluskan RM12.5 juta bagi kos penambahbaikan kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah, sehari selepas laporan guru besar sekolah berkenaan tinggal dalam stor selama tiga tahun disiarkan

KPM memaklumkan kerja pembinaan melibatkan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.

Selain itu, KPM berkata pembinaan empat unit kuarters baharu di SK Ulu Ansuan juga diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2024.

“Semua projek penambahbaikan dan kemudahan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta…

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah itu pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Dalam pada itu, KPM terus bertekad menambah baik kemudahan di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.

Terdahulu, media melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan, George Odol, yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini tinggal dalam sebuah stor sekolah selama lebih tiga tahun untuk meneruskan perjuangannya mendidik anak bangsa.