PAITAN: Pendekatan turun padang perlu terus menjadi amalan pemimpin bagi memahami sendiri keperluan serta cabaran masyarakat di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan setiap agenda pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, interaksi secara langsung antara pemimpin, rakyat dan agensi kerajaan amat penting dalam memperkukuh hubungan serta menyelaras usaha pembangunan yang lebih berkesan.
“Program seperti ini bukan sahaja menghimpunkan masyarakat, tetapi turut membuka ruang kepada interaksi secara langsung antara rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan dalam usaha bersama membangunkan kawasan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang, pada Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) Daerah Paitan Tahun 2026, di sini.
James berkata, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, justeru semangat perpaduan perlu terus diperkukuh melalui sikap saling menghormati, semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan bersama bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar, dengan memperluaskan akses kepada pendidikan serta memperkasa penguasaan sains, teknologi dan inovasi.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan akses pendidikan, memperkasa kemahiran generasi muda serta memperluaskan penggunaan teknologi dan inovasi agar masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya dipacu oleh kekuatan perpaduan, kerjasama dan penyertaan aktif masyarakat.
Sehubungan itu, James menyeru masyarakat Paitan agar terus mengekalkan semangat kebersamaan serta memainkan peranan bersama dalam menyokong usaha pembangunan demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) Daerah Paitan Tahun 2026 diadakan sebagai platform mengeratkan hubungan antara komuniti, pemimpin dan agensi kerajaan, selain memperkukuh jaringan kerjasama serta menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.






