KOTA KINABALU: Sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi pemangkin untuk memperkukuh agenda pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri secara menyeluruh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui SMJ 2.0 sebagai kesinambungan usaha membina Sabah yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera, selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”
“Hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing, penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan yang inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang menyentuh kehidupan rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti.
“Saya yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, tadbir urus yang berintegriti, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sokongan padu seluruh rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan sejahtera.
“Kerana pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah pada apa yang berjaya dibina, tetapi pada sejauh mana rakyat menikmati hasil pembangunan tersebut,” katanya.
Menurut Hajiji, pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu dihayati sebagai medan menyemarakkan semangat cintakan negara serta menghargai nikmat kemerdekaan.
“Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan. Kemerdekaan adalah anugerah yang perlu kita hargai dan pertahankan,” katanya.
Dalam era digital, beliau berkata rakyat kini mempunyai ruang yang lebih luas untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti perkembangan pembangunan negeri, namun semua pihak perlu menggunakan platform tersebut secara bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan teguran sebagai tanda keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah.
“Namun, setiap pandangan hendaklah disampaikan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta yang sahih serta dengan niat untuk membina, bukannya memecahbelahkan.
“Manfaatkanlah kemudahan teknologi dengan bijaksana untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan sebagai simbol kecintaan kepada negara, selain terus memupuk semangat perpaduan dan kerjasama demi masa depan negeri.
“Semoga seluruh rakyat akan terus bersatu padu, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang.
“Marilah kita menjadikan sambutan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk memperbaharui iltizam dalam membina sebuah Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.






