ARMADA BERSATU Galakkan Semua Ahli Di Sabah Bertindak Pantas Beri Bantuan Kecemasan...

ARMADA BERSATU Galakkan Semua Ahli Di Sabah Bertindak Pantas Beri Bantuan Kecemasan Sekiranya Berlaku Bencana

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Kota Kinabalu Mohd Fakhruz Zaman Arsit menggalak semua ahli di negeri ini untuk bertindak pantas khasnya dalam memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan masing-masing.

“Kami semua sentiasa diingatkan oleh Ketua ARMADA Negeri Sabah, Fairuz Renddan, untuk sentiasa bergerak aktif dalam misi memberi bantuan kecemasan kerana permasalahan rakyat adalah keutamaan yang ARMADA fokuskan yang khasnya melibatkan belia dan beliawanis…

“Untuk itu saya bertindak segera hari ini ke Dewan Muhibbah di Sembulan untuk memberikan bantuan kecemasan berupa bekalan air minuman bersih dan biskut serta susu formula untuk mencukupi keperluan asas sementara kepada semua 64 mangsa kebakaran yang ditempatkan di dewan ini,” katanya ketika ditemui wartawan Sabah News.

Menurut Mohd Fakhruz, ARMADA Kota Kinabalu akan lebih aktif khasnya dalam menggerakkan misi bantuan kepada semua yang memerlukan tanpa memandang perbezaan fahaman politik.

“Kita di ARMADA Kota Kinabalu sentiasa mahu mencurahkan khidmat bakti yang terbaik untuk semua komuniti di sekitar Kota Kinabalu…

“Saya juga merancang untuk menambah lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan khasnya untuk dilaksanakan oleh ahli-ahli ARMADA di bahagian Kota Kinabalu kelak,” ujar beliau lagi.

Turut tampil ialah Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit, bersama rombongan menziarahi 17 keluarga mangsa di dewan itu dan memberikan sumbangan bagi tujuan meringankan beban mangsa.

Sebanyak 73 rumah atas air musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya pada malam Khamis membuat 200 penghuni kehilangan tempat tinggal.