TAMBUNAN, SABAH – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dua hari selepas dilaporkan hilang ketika keluar menjerat haiwan di kawasan hutan Kampung Monsok Tengah sini pagi tadi.
Mangsa, Felix Joseph, 40, disedari hilang oleh abangnya pada lebih kurang jam sembilan pagi Jumaat lepas.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata laporan kecemasan dibuat pada pukul 10.45 malam semalam setelah abang mangsa hanya dapat menjumpai motosikal milik mangsa ketika cuba mencarinya.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan diketuai PBK II Tonny Sipin memulakan operasi sebaik mendapat laporan itu daripada pihak polis.
“Usaha mencari mangsa disekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan telah dilakukan orang kampung namun gagal ditemui.
“Pasukan bomba ke Balai Polis Tambunan untuk mendapatkan maklumat. Operasi mencari dan menyelamat hari pertama kemudian ditangguhkan pada jam 11.40 malam,” katanya.
Walau bagaimapun, mangsa telah dijumpai oleh pasukan penyelamat pada jam 10.28 pagi tadi kira-kira tiga kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Penemuan itu dibuat sejam selepas operasi mencari diaktifkan semula pada pukul 9.35 pagi.
“Pasukan penyelamat mengangkat dan membawa keluar mangsa dari hutan ke PKTK dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi di tamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari,” kata seorang jurucakap bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah.