KOTA KINABALU: Semua bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) kini boleh menubuhkan Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) susulan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap pindaan Perlembagaan parti itu.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, berkata GBB akan menjadi platform tersusun untuk golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sihat, membina dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, penubuhan GBB bukan sekadar penambahan struktur organisasi, sebaliknya pelaburan untuk masa depan PBS.
“Ini memberi ruang kepada anak-anak muda kita untuk belajar, menyumbang idea, menimba pengalaman serta memahami perjuangan dan prinsip parti dari peringkat akar umbi.
“Kita mahu ahli muda kita memahami DNA PBS, menghargai sejarah perjuangan parti serta membina integriti, keberanian dan rasa tanggungjawab yang diperlukan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-41 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini pada Sabtu.
Julita berkata, mekanisme pelaksanaan GBB akan diperincikan oleh kepimpinan baharu Ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih oleh perwakilan pada persidangan itu.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertepatan dengan fasa pembaharuan kepimpinan PBS yang memberi penekanan lebih besar kepada pembangunan keupayaan pemimpin muda sebelum mereka memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti.
“Masa depan PBS bukan hanya bergantung kepada usaha kita mempertahankan legasi yang telah dibina selama lebih empat dekad, tetapi juga kepada keupayaan kita menyediakan generasi baharu untuk meneruskan legasi tersebut.
“Kita perlu memberikan mereka ruang untuk mengambil bahagian, belajar dan memimpin, pada masa yang sama memastikan prinsip serta nilai teras PBS terus menjadi pegangan,” katanya.
Julita berkata, pindaan Perlembagaan itu mencerminkan usaha PBS memperkukuh organisasi parti dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik serta sosial semasa.
Katanya, GBB juga akan membolehkan PBS mendekati golongan muda secara lebih tersusun dan menggalakkan penglibatan mereka melalui aktiviti politik yang membina serta bermakna.
Turut hadir Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pengasas, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Yee Moh Chai dan Datuk Seri Jahid Jahim; Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai; serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Christopher Mandut.






