PUTRAJAYA: Kerajaan Sabah komited meneruskan cadangan meletakkan pelancongan di bawah Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah itu akan memberi kuasa kepada negeri mengurus dan membangunkan industri pelancongan mengikut keperluan serta keunikan Sabah.
“Sabah bukan meminta layanan istimewa, sebaliknya mahu memperkukuh keupayaan mengurus sektor ini selaras semangat MA63,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.
Beliau berkata cadangan itu akan memperkukuh tadbir urus, sistem pelesenan, perlindungan warisan serta keselamatan pelancong, selain membolehkan pelaksanaan dasar seperti levi kelestarian.
“Ini bukan untuk memisahkan Sabah daripada kerangka nasional, tetapi memperkasa peranan negeri sambil menyokong agenda pelancongan negara,” katanya.
Menurutnya, keunikan biodiversiti dan warisan budaya Sabah memerlukan dasar tersendiri, dengan sektor pelancongan kekal sebagai tonggak ekonomi negeri.






