‘Go For Gold!’ Hajiji Cabar Atlet Kembalikan Kegemilangan Sabah di SUKMA Selangor

‘Go For Gold!’ Hajiji Cabar Atlet Kembalikan Kegemilangan Sabah di SUKMA Selangor

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mencabar seluruh kontinjen Sabah supaya mengembalikan kegemilangan sukan negeri pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor menerusi semangat juang tinggi, disiplin serta tekad memburu kejayaan demi mengharumkan nama Sabah di pentas kebangsaan.

Sejajar dengan misi itu, Sabah menetapkan sasaran 40 pingat emas pada SUKMA, manakala kontinjen Para SUKMA menyasarkan 66 pingat emas serta bertekad kembali muncul juara keseluruhan.

Hajiji berkata, sasaran berkenaan mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap tahap persediaan atlet, keupayaan jurulatih, pengurusan pasukan dan sistem pembangunan sukan Sabah yang diperkasakan secara berterusan.

“Bagi SUKMA Selangor, kita menetapkan sasaran 40 pingat emas. Sasaran ini mencerminkan keyakinan kita terhadap persediaan atlet, kepakaran jurulatih, pengurusan pasukan serta sistem pembangunan sukan yang telah dilaksanakan secara berterusan.

“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik.

“Bagi Para SUKMA pula, Sabah mensasarkan 66 pingat emas dan bertekad untuk kembali menjulang gelaran juara keseluruhan. Insya-Allah, kedua-duanya kita boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sabah ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pencapaian Sabah pada SUKMA Sarawak sebelum ini yang membawa pulang 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.

Beliau berkata, kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan 943 anggota, terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan, selain akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Bagi Para SUKMA pula, Sabah menghantar kontinjen seramai 271 anggota, merangkumi 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai, serta 37 anggota urusetia.

Menurutnya, kerajaan negeri turut meletakkan harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Sabah berjaya membawa pulang pingat.

“Saya sebagai Ketua Menteri menaruh harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet kita mampu pulang dengan pingat. Justeru, kepada semua atlet kontingen Sabah, berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan disiplin perlu menjadi kekuatan utama setiap atlet kerana bakat semata-mata tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah bagi mengelakkan risiko penggunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kelayakan, membatalkan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya mereka.

Selain itu, beliau menyeru semua pegawai memastikan aspek keselamatan, kebajikan, penginapan, rawatan, pemulihan dan semangat setiakawan dalam kalangan atlet sentiasa diberi perhatian sepanjang berada di Selangor agar mereka dapat memberikan prestasi terbaik.

Sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan atlet, jurulatih dan keluarga, Hajiji turut mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk RM10,000 bagi pemenang pingat emas untuk SUKMA dan Para SUKMA.

“Insentif tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan kepada atlet kita. Saya menyeru semua kontinjen Sabah supaya melangkah ke Selangor dengan satu hati, satu semangat dan satu matlamat.

“Berjuanglah habis-habisan, buru setiap peluang dan buktikan bahawa Sabah mampu berdiri bersama negeri-negeri terbaik dalam arena sukan tanah air,” katanya.