Lori Ubah Suai Bawa 1,350 Liter Diesel Disita di Tawau

Lori Ubah Suai Bawa 1,350 Liter Diesel Disita di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Sebuah lori lapan tan yang diubah suai dengan tangki tambahan bagi membawa 1,350 liter minyak diesel disyaki untuk tujuan penyelewengan berjaya disita dalam satu operasi di daerah ini, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM104,256.25.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kira-kira jam 7.30 malam.

Rampasan itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu yang dipercayai telah diubah suai dengan tangki tambahan bagi menyimpan minyak diesel.

Turut dirampas ialah tong drum besi, hos paip minyak, mesin pam serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi.

Susulan itu, KPDN Tawau membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.