AI, Ekonomi Biru Pemacu Baharu Transformasi Digital Sabah – Masidi

AI, Ekonomi Biru Pemacu Baharu Transformasi Digital Sabah – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam mempercepatkan transformasi digital negeri, termasuk dalam analisis data besar, automasi perkhidmatan kerajaan, keselamatan siber serta peningkatan produktiviti industri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, penggunaan AI turut diselaraskan dengan hala tuju pembangunan negeri menerusi pelan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang memberi penekanan terhadap transformasi ekonomi berteraskan inovasi, pelaburan berkualiti dan pembangunan lestari.

Menurut beliau, dalam era pendigitalan masa kini, pembangunan ekonomi biru dilihat semakin signifikan dengan memberi fokus kepada pemanfaatan sumber laut secara mampan melalui teknologi digital.

“Dalam era pendigitalan masa kini, potensi pembangunan ekonomi biru semakin signifikan dengan memberi fokus kepada pemanfaatan sumber laut secara mampan melalui teknologi digital, termasuk dalam sektor perikanan pintar, pelancongan marin serta pemantauan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Malaysia Digital Chamber of Commerce yang diketuai Pengerusi Emeritusnya, Chris Daniel Wong, di pejabatnya di sini.

Masidi berkata, kerajaan negeri komited untuk terus menyokong transformasi digital, penggunaan AI serta pembangunan ekonomi biru sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi baharu Sabah.

“Kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada kerjasama strategik yang mampu membawa manfaat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 untuk memastikan pembangunan yang lebih efisien,” katanya.

Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan negeri Sabah dan pemain industri digital, khususnya dalam memperkasa agenda ekonomi digital serta memperluas peluang pelaburan berasaskan teknologi di negeri ini.

Sementara itu, Wong berkata, Program Forum Ekonomi Digital Malaysia 2026 anjuran MDCC akan berlangsung di ITCC Penampang pada 11 Ogos depan bermula jam 2 petang.

Menurutnya, forum berkenaan akan mengetengahkan tema “Blue Economy & Artificial Intelligence – Driving Sustainable Digital Growth” yang memberi fokus kepada peranan AI dan ekonomi biru dalam memacu pertumbuhan digital mampan di Malaysia.