KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyifatkan tindakan memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion berkaitan Sabah Development Bank Berhad (SDBank) sebagai mencerminkan keterbukaan negeri dalam menangani isu pengurusan kewangan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan undang-undang itu telah difailkan dan kerajaan negeri kini menyerahkan perkara berkenaan kepada proses mahkamah.
“Secara simboliknya, ini menunjukkan keterbukaan Sabah; nothing to hide. Kalau orang hutang, kita saman. Kita telah menyaman semua pemiutang tanpa kira siapa.
“Kita serius memastikan pengurusan kewangan negeri dibuat dengan telus bagi mewujudkan budaya governance yang lebih baik,” katanya ketika menjawab soalan media berhubung perkara itu pada sidang media khas sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, hari ini.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai kes berkenaan memandangkan ia kini melalui proses perundangan.
“Eloklah kita serahkan kepada proses mahkamah. Bagi Sabah, kita telah memfailkan dan kita tunggu proses seterusnya,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah bersama Ketua Menteri Sabah, SDBank dan SDB Corporation Sdn Bhd memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit EY di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.
Saman itu berhubung dakwaan kegagalan firma audit berkenaan melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan SDBank bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) ketika menjalankan audit berkanun terhadap penyata kewangan SDBank.
Plaintif turut mendakwa kegagalan berkenaan menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikesan lebih awal.
Dakwaan serta liabiliti pihak-pihak yang terbabit kini tertakluk kepada proses mahkamah.






