Empat Termasuk Bekas Pegawai Adat Direman, Disyaki Terima Rasuah RM900,000

Empat Termasuk Bekas Pegawai Adat Direman, Disyaki Terima Rasuah RM900,000

0
SHARE

KENINGAU: Empat individu termasuk seorang bekas pegawai adat direman tujuh hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM900,000 sebagai balasan membantu urusan jual beli tanah di negeri ini.

Turut direman ialah dua broker tanah dan seorang penjawat awam selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.

Perintah reman sehingga 27 Ogos 2026 itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 60-an ditahan antara jam 4 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Keningau.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.

“Suspek yang merupakan bekas pegawai adat dan penjawat awam dipercayai menerima rasuah daripada dua broker tanah sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah yang dikendalikan oleh kedua-dua broker berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, siasatan awal turut mendapati tanah yang terlibat dalam urusan berkenaan merupakan milik individu lain dan tidak pernah ditawarkan untuk dijual.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009.