KENINGAU: Seorang penjawat awam direman tujuh hari kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap melibatkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu sehingga 12 Oktober ini dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.
Suspek sebelum itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Menurut SPRM, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2021 hingga 2024.
Suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi kesemua 15 projek kerajaan berkenaan yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik salah seorang ahli keluarganya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.






