KOTA KINABALU: Satu laporan polis telah dibuat terhadap perhimpunan “Gempur Rasuah Sabah 2.0” yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini, dengan dakwaan ia dipengaruhi unsur politik luar dan berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh kumpulan Suara Mahasiswa UMS itu dirancang bermula dari Suria Sabah ke Lintasan Deasoka di pusat bandar Kota Kinabalu.
Menurut laporan yang dibuat di Balai Polis Tanjung Aru, terdapat kebimbangan bahawa penganjuran tersebut mungkin melibatkan hasutan, campur tangan politik pembangkang serta eksploitasi mahasiswa untuk tujuan berkepentingan.
Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, yang membuat laporan berkenaan, menyuarakan pandangan bahawa penggunaan mahasiswa bagi agenda politik sempit adalah tidak bermoral dan boleh menjejaskan reputasi institusi pengajian tinggi.
“Mahasiswa seharusnya mengangkat nilai intelektualisme dan idealisme akademik, bukannya menjadi perisai demonstrasi jalanan,” katanya.
Laporan itu turut menekankan kemungkinan perhimpunan tersebut mengganggu perniagaan tempatan, mencetus provokasi oleh pihak luar serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Beliau meminta pihak polis menyiasat penganjur serta sumber pembiayaan program itu, termasuk sebarang elemen pengaruh luar yang cuba mengambil kesempatan terhadap keadaan semasa di Sabah.
“Sabah memerlukan kestabilan dan kesatuan, bukan kebisingan jalanan yang merosakkan keharmonian,” katanya.






