Lebih 13,000 Pelajar Nikmati Tajaan BKNS, Bukti Kerajaan Sabah Perkasa Pendidikan –...

Lebih 13,000 Pelajar Nikmati Tajaan BKNS, Bukti Kerajaan Sabah Perkasa Pendidikan – Ismail

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 13,000 pelajar di Sabah kini menikmati manfaat tajaan di bawah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), hasil komitmen berterusan Kerajaan Negeri yang memperuntukkan lebih RM100 juta bagi memperkasa akses kepada pendidikan dan pembangunan modal insan.

Exco Pergerakan Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ismail Sabran berkata, inisiatif yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan modal insan berkualiti yang bakal menerajui pembangunan Sabah pada masa hadapan.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas komitmen berterusan memperkasakan pendidikan melalui BKNS yang kini telah melebihi RM100 juta.

“Pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan pelaburan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang akan memimpin Sabah pada masa hadapan.

Sebagai Exco Pergerakan Pemuda GRS, saya melihat inisiatif ini sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan serta masa depan anak-anak Sabah tanpa mengira latar belakang. Ramai pelajar kini dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin hasil sokongan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Pemuda GRS akan terus menyokong segala usaha kerajaan yang memberi manfaat kepada generasi muda, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan kemahiran dan penyediaan peluang pekerjaan.

Beliau turut berharap lebih ramai anak Sabah memanfaatkan peluang tajaan yang disediakan untuk mencapai kejayaan dalam akademik dan kerjaya, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Pendidikan diperkasa, anak Sabah berjaya, negeri terus maju,” katanya.