KOTA KINABALU: Jambatan di KM2.850 Jalan Tun Fuad Stephen ditutup serta-merta bermula jam 12 tengah hari ini selepas pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mendapati berlaku kerosakan struktur serius pada lantai konkrit jambatan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam kenyataan hari ini, JKR Sabah memaklumkan penutupan itu hanya melibatkan laluan dari Bandaraya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas bagi membolehkan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan orang ramai.
Pengarah Kerja Raya Sabah berkata, pemeriksaan teknikal mendapati kerosakan struktur pada lantai konkrit jambatan memerlukan penutupan segera bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya.
“Pemeriksaan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah menemui kerosakan struktur yang serius pada lantai konkrit jambatan yang memerlukan penutupan segera jambatan tersebut bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Penutupan jambatan terpaksa dilakukan segera bermula pada jam 12.00 tengah hari ini (31 Julai 2026). Penutupan ini hanya melibatkan laluan dari Bandaraya Kota Kinabalu ke Teluk Likas sahaja,” katanya.
Menurut beliau, laluan berkenaan akan dibuka semula sebaik sahaja kerja pembinaan lencongan sementara disiapkan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan berharap pengguna jalan raya memberikan kerjasama sepanjang kerja pembaikan serta pembinaan lencongan sementara dijalankan.






