Sabah Terbuka Jalin Kerjasama Konservasi, Pendidikan ‘Proboscis Monkey’ Bersama Melaka

Sabah Terbuka Jalin Kerjasama Konservasi, Pendidikan ‘Proboscis Monkey’ Bersama Melaka

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah terbuka untuk meneroka potensi kerjasama dengan Melaka dalam bidang konservasi, penyelidikan dan pendidikan hidupan liar melibatkan monyet belanda (Proboscis Monkey), namun sebarang cadangan berkaitan perlu berlandaskan penilaian saintifik yang menyeluruh serta tidak menjejaskan kelangsungan spesies endemik itu di habitat asalnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan negeri menyambut baik hasrat yang disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, untuk meneroka kerjasama berkenaan sebagai usaha memperkukuh pendidikan konservasi, penyelidikan dan kesedaran awam mengenai biodiversiti Malaysia.

Beliau berkata, hasrat itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kekayaan biodiversiti Sabah yang menjadi antara aset semula jadi paling bernilai di negara ini.

Monyet belanda bukan sekadar ikon pelancongan Sabah, malah merupakan spesies endemik Pulau Borneo yang mempunyai nilai konservasi tinggi serta menjadi lambang keunikan ekosistem hutan paya bakau dan hutan riparian di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jafry berkata, spesies berkenaan bukan hanya terdapat di Sungai Kinabatangan, malah turut mendiami beberapa habitat semula jadi lain di Sabah termasuk Sungai Klias, Weston, Teluk Labuk, Segama, Trusan Sugut serta kawasan hutan bakau dan hutan riparian.

Menurut beliau, Sungai Kinabatangan kekal sebagai habitat semula jadi terbesar, paling penting dan paling terkenal di dunia bagi monyet belanda, selain menjadi lokasi utama penyelidikan saintifik serta destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan melibatkan pemindahan atau penempatan spesies hidupan liar di luar habitat asal perlu melalui penelitian yang amat teliti dan tidak boleh dinilai hanya dari sudut tarikan pelancongan.

“Sebarang cadangan seumpama ini perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan bukti saintifik, aspek kebajikan haiwan, kesesuaian habitat, kesihatan veterinar, kepelbagaian genetik, pengurusan populasi serta pematuhan kepada semua peruntukan undang-undang dan piawaian konservasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.

Jafry berkata, Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pakar konservasi, institusi penyelidikan dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan utama dalam membuat penilaian sekiranya cadangan itu ingin dipertimbangkan pada masa hadapan.

Katanya, sekiranya semua syarat teknikal, saintifik dan perundangan dipenuhi, kerjasama tersebut berpotensi menjadi platform memperkukuh pendidikan konservasi, memperluaskan penyelidikan saintifik serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara spesies endemik Borneo.

“Namun, pendirian Sabah adalah jelas. Keutamaan kita sentiasa tertumpu kepada usaha memastikan spesies ini terus berkembang dan kekal terpelihara di habitat semula jadinya. Sebarang bentuk kerjasama mesti memberi manfaat kepada agenda pemuliharaan jangka panjang dan tidak sekali-kali menjejaskan kelangsungan populasi hidupan liar di Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan negeri-negeri lain dalam bidang konservasi, penyelidikan biodiversiti dan pembangunan ekopelancongan berasaskan amalan lestari, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk terus menjadi peneraju pemuliharaan alam semula jadi di Malaysia.