Tanah Runtuh 150 Meter di Jalan Sim-Sim, Jalan Ditutup Untuk Keselamatan

Tanah Runtuh 150 Meter di Jalan Sim-Sim, Jalan Ditutup Untuk Keselamatan

0
SHARE

 

SANDAKAN: Jalan Sim-Sim berhampiran Tokong Cina Pau Kung di sini ditutup kepada pengguna selepas kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 150 meter, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.19 malam sebelum sembilan anggota dikerahkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba kira-kira lapan minit kemudian dan mengesahkan berlaku tanah runtuh di Jalan Sim-Sim.

Kawasan tanah runtuh berada jauh dari lokasi perumahan, namun kejadian itu mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya utama.

Hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Bencana Daerah mendapati tanah runtuh berlaku sepanjang kira-kira 150 meter dan jalan raya telah ditutup atas faktor keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jimmy berkata, usaha menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dilakukan bagi mendapatkan tindakan lanjut berkaitan kejadian berkenaan.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Alex Thien turut berada di lokasi bersama agensi berkaitan bagi meninjau keadaan.

Operasi itu membabitkan sembilan anggota BBP Sandakan dengan bantuan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 10.56 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.06 malam.