Lelaki Cedera, Aruz Bertembung Toyota SR di Sipitang

Lelaki Cedera, Aruz Bertembung Toyota SR di Sipitang

0
SHARE

SIPITANG: Seorang lelaki berusia 54 tahun cedera ringan selepas terlibat dalam kemalanan pertembungan dua kenderaan, Perodua Aruz dan Toyota SR di Kampung Musapol, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, PPgB Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian balai pada jam 6.28 pagi.

Katanya, enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejauh tujuh kilometer.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.34 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Aruz yang bertembung dengan Toyota SR.

Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. Dia kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.03 pagi.

Operasi diketuai PBK II Nassir Turoyoh dengan kekuatan enam anggota, masing-masing empat anggota FRT dan dua anggota EMRS.