Hajiji Zahir Takziah atas Pemergian Bekas ADUN Bongawan, Karim Bujang

Hajiji Zahir Takziah atas Pemergian Bekas ADUN Bongawan, Karim Bujang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Haji Karim Haji Bujang yang meninggal dunia semalam.

Hajiji menerusi hantaran di Facebook berkata, Allahyarham merupakan antara pemimpin politik Sabah yang banyak menyumbang bakti kepada negeri dan rakyat.

“Salam takziah diucapkan kepada Datin Maimun Pg Bagul dan seluruh keluarga Allahyarham Datuk Haji Karim Haji Bujang yang telah kembali ke rahmatullah.

Allahyarham merupakan pemimpin politik di Sabah yang telah menyumbang bakti dan pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan serta saat sukar berkenaan.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Allahyarham Karim mewakili kawasan Bongawan selama lima penggal bermula 1990 hingga 2013.