Keputusan 40 Peratus: Sabah Uji Keikhlasan Kerajaan Persekutuan

Keputusan 40 Peratus: Sabah Uji Keikhlasan Kerajaan Persekutuan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung 40 peratus hasil Sabah akan dilihat sebagai menafikan keadilan sosial dan autonomi negeri ini.

Presiden Pertubuhan Sakag Talantang Sabah, Ramdi Indang berkata, langkah itu juga boleh mengukuhkan rasa Sabah terus dilayan seperti “anak tiri”, sekali gus memberi kesan kepada landskap politik negeri.

Katanya, tuntutan tersebut berasaskan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang menjamin geran khas serta semakan berkala setiap lima tahun. Namun, kerajaan Persekutuan gagal melaksanakannya sejak 1974, yang telah dianggap tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pada Oktober lalu, mahkamah memerintahkan kerajaan Persekutuan mengkaji semula kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih yang dikutip dari negeri ini selepas semakan kehakiman difailkan oleh Sabah Law Society.

Menurut Ramdi, jika rayuan dibuat, ia akan menekan pemimpin Sabah dalam kerajaan Persekutuan, khususnya parti seperti Upko. Presidennya yang juga Menteri Persekutuan, Datuk Ewon Benedick telah menyatakan secara terbuka AGC tidak wajar merayu keputusan itu.

Beliau menambah, dalam sistem Westminster, menteri wajar meletak jawatan jika keputusan kerajaan bercanggah dengan prinsip yang mereka perjuangkan.

Ramdi berkata, isu 40 peratus bukan sekadar berkaitan kewangan, tetapi simbol utama perjuangan autonomi Sabah. Sebarang rayuan akan mengundang kemarahan rakyat kerana hak yang dijamin perlembagaan terus dinafikan.

Beliau menegaskan bahawa keputusan AGC kelak akan menghantar isyarat penting sama ada suara dan hak rakyat Sabah benar-benar dihormati atau terus diketepikan seperti layanan terhadap “anak tiri”.