GRS Tekankan Perlindungan Hak Pembeli Century Plaza Papar

GRS Tekankan Perlindungan Hak Pembeli Century Plaza Papar

0
SHARE

PAPAR: Isu kelewatan hampir 20 tahun mendapatkan geran individu bagi pembeli lot komersial Projek Century Plaza masih belum selesai, kata Ahli Parlimen Papar yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.

Daripada 24 pembeli yang tampil, beliau berkata 19 orang telah menyelesaikan sepenuhnya pinjaman bank dan dua orang pembeli asal telah meninggal dunia namun hak milikan masih belum diperoleh.

Armizan berkata beliau amat kesal kerana tidak ada seorang pun wakil pemaju atau peguam mereka hadir dalam pertemuan bersama pembeli dan agensi kerajaan baru-baru ini.

Susulan itu, katanya peguam telah diminta mempertimbangkan tindakan undang-undang jika pemaju terus tidak memberi respons dalam tempoh 14 hari.

Beliau turut menggesa pemaju dan Majlis Daerah Papar sebagai pemilik tanah supaya mengambil tindakan segera memaklumkan para pembeli tentang sebarang perkembangan sekali gus menunaikan tanggungjawab sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian jual beli.

Menurut Armizan, isu itu menunjukkan keperluan mendesak reformasi undang-undang hartanah di bawah komitmen Kerajaan GRS untuk memperkasa perlindungan hak pembeli.

“Antara komitmen Kerajaan GRS adalah untuk memperkasa perlindungan hak pembeli dalam reformasi undang-undang berkaitan hartanah,” jelasnya.

Antara langkah yang dirancang ialah pindaan terhadap enakmen berkaitan hak milik serta penggubalan Enakmen Pengurusan Bangunan 2025 bagi menyelesaikan isu kelewatan hak milik dan penyelenggaraan bangunan.

“Inisiatif menambah baik undang-undang hartanah ini merupakan sebahagian daripada strategi di bawah Agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi dalam Manifesto GRS,” katanya.