KUALA LUMPUR: Anak jati Sabah, Ericson Lotidis, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Juara Cookie Run Trading Card Game (TCG) Brave League 2025 Season 2 Final Malaysia yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu, sekaligus melayakkannya mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia di Korea Selatan pada April 2026.
Kejohanan peringkat nasional itu menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh negara bagi merebut gelaran tertinggi serta tiket tunggal ke pentas dunia yang bakal mempertemukan pemain dari 10 wilayah antarabangsa.
10 wilayah tersebut termasuklah Korea, Taiwan, Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat dan Kanada.
Semua kos penyertaan Ericson di tanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Sabah turut menjadi tumpuan apabila menghantar lapan wakil ke pertandingan ini termasuk Ericson Lotidis, Jivinod J Kuyun, Joanna Chin Mei Ling, Alvin Jonathan Joymon, Renge Soon Lee Wah, Farren Tan, Chin Hui Juen dan Lim Lianq Jou, dengan dua pemain dari Sabah, Ericson dan Farren Tan, berjaya mara sehingga Top 8.
Dalam aksi final, Ericson yang menggunakan Deck Red Velvet Midrange bangkit selepas tewas pusingan pertama untuk menumbangkan lawan dalam dua pusingan berikutnya. Kad Fire Spirit Cookie menjadi faktor penentu kemenangan yang membawa kejuaraan kebangsaan kepada beliau.
Cookie Run TCG yang kian popular dalam kalangan pemain muda Malaysia menuntut kemahiran strategi, pemikiran kritikal serta pengiraan matematik tepat dalam masa singkat.
Permainan berasaskan dek 60 kad ini bukan sahaja melatih minda pemain malah memupuk interaksi sosial serta semangat kesukanan.
Kejayaan Ericson Lotidis ini bukan sahaja mengharumkan nama Sabah tetapi turut meletakkan Malaysia pada radar antarabangsa dalam arena permainan kad strategi dunia.
Kejohanan Dunia Cookie Run TCG di Korea Selatan kelak bakal menjadi medan membuktikan kemampuan pemain tempatan bersaing di pentas global.






