Amaran Tsunami Ditamatkan, Keadaan di Pantai Timur Sabah Terkawal

Amaran Tsunami Ditamatkan, Keadaan di Pantai Timur Sabah Terkawal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menamatkan nasihat tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pagi tadi, selepas keadaan di kawasan pantai timur Sabah didapati berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Dalam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan pada jam 12 tengah hari, MET Malaysia memaklumkan nasihat tsunami yang dikeluarkan pada jam 8.36 pagi hari ini telah ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut MET Malaysia, penamatan tersebut merupakan maklumat terakhir berhubung kejadian gempa bumi berkenaan melainkan terdapat perkembangan lanjut atau maklumat tambahan pada masa akan datang.

Terdahulu, gempa bumi bermagnitud 7.9 dengan kedalaman 50 kilometer dilaporkan berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi, menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna.

Susulan kejadian itu, MET Malaysia mengeluarkan nasihat tsunami dengan jangkaan ombak setinggi kira-kira 0.4 meter melanda kawasan pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna bagi menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi berisiko di daerah terlibat.

Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan mahupun insiden kecemasan dilaporkan di kawasan yang dipantau.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah turut mengesahkan keadaan semasa di kawasan terlibat adalah terkawal dan selamat.