SPRM Tahan Tiga Pegawai KPDNKK

SPRM Tahan Tiga Pegawai KPDNKK

0
SHARE

KOTA KINABALU – Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga penolong pegawai penguatkuasa kerana didakwa meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga di Beaufort dua minggu lepas.

Memetik kenyataan akhbar Harian Ekspres, suspek-suspek yang berumur antara 25 dan 38, dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), ditahan di pejabat kementerian itu antara jam 12.25 tengahari dan 12.40 tengahari pada Khamis.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi berkata, SPRM membuat tangkapan itu selepas menerima aduan bahawa ketiga-tiga suspek pergi ke kedai peniaga itu untuk memeriksa tanda harga dan alat timbangan pada 14 Julai.

Dalam laporan peniaga itu yang bertarikh 19 Julai, ketiga-tiga suspek meminta RM600 daripada peniaga itu jika dia tidak mahu dikompaun kerana melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan tanda harga pada sesetengah barangan dan alat timbangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.

Menurutnya, peniaga itu membayar wang tersebut kepada ketiga-tiga suspek sebelum membuat laporan kepada SPRM.

Sazali berkata ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.