KOTA KINABALU: Sabah menghantar lebih 200 atlet dan delegasi bagi menyertai Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 yang bakal berlangsung di Skudai Johor, dengan tekad mempertahankan gelaran juara yang dimenangi tahun lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Agama Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyerahan bendera kepada kontinjen Sabah pada Sabtu menandakan komitmen negeri untuk terus cemerlang dalam bidang sukan melibatkan agensi-agensi agama di seluruh negara.
“Tahun lalu IJPAM diadakan di Sabah, dan kita muncul juara. Tahun ini, insya-Allah, kita akan berusaha mempertahankan kejuaraan tersebut,” katanya selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera Sabah kepada Kontinjen IJPAM di Kota Kinabalu, semalam.
Beliau menegaskan, selain membawa pulang kejayaan, pasukan Sabah juga perlu menjaga nama baik negeri dan menjadikan penyertaan itu sebagai platform mengeratkan silaturahmi sesama warga agensi agama seluruh Malaysia.
“Sukan ini bukan sahaja medan persaingan, tetapi juga wadah persaudaraan dan persahabatan. Malah, turut diselitkan konvensyen yang menjadi ruang berkongsi ilmu dan pengalaman antara pegawai serta staf agama,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, kontinjen Sabah telah menjalani persiapan rapi sejak sekian lama dan diyakini mampu menyerlah dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
“Sabah sememangnya menyerlah dalam banyak bidang sukan. Selepas kejayaan di peringkat sekolah baru-baru ini, saya yakin kontinjen kita juga mampu mencapai sasaran juara di Johor nanti,” tambahnya.






