PAPAR: Sabah melakar sejarah baharu dalam pembangunan modal insan dengan pelancaran Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah bernilai RM130.6 juta di Beringgis, Papar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kampus yang dibangunkan di kawasan seluas 34 ekar itu akan menjadi pemangkin utama memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam sektor pembinaan.
Menurut beliau, kampus moden berteknologi tinggi itu mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kapasiti latihan belia sebanyak 73 peratus serta personel binaan sebanyak 39 peratus berbanding kemudahan kampus sementara ABM di Kayu Madang, Kota Kinabalu.
“Hari ini kita membuka lembaran baharu untuk Sabah. Kampus ini akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menggilap bakat anak muda, meningkatkan daya saing mereka di pasaran pekerjaan, selain menjadi hab TVET Pembinaan Malaysia Timur,” katanya pada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan, pada Sabtu.
Hajiji berkata, pembangunan kampus itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan infrastruktur dan modal insan sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei lalu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelaras lebih 160 institusi latihan TVET agar seiring dengan keperluan industri.
Sejak penubuhannya, ABM Sabah dan CIDB Tech telah melatih lebih 7,000 pelatih dengan kadar kebolehpasaran mencecah 85 peratus.
Antara bidang kemahiran yang mendapat permintaan tinggi termasuk pemasangan perancah (scaffold erection), kimpalan, pemasangan paip gas, operasi jentera, elektrik, penyaman udara dan perpaipan, kemahiran yang bukan sahaja diperlukan dalam industri pembinaan, malah sektor minyak dan gas antarabangsa.
“Dengan adanya teknologi terkini seperti penggunaan dron, simulasi digital dan peralatan moden, Sabah mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi pasaran global,” tambahnya.
Hajiji yakin kampus itu akan memberi limpahan ekonomi kepada daerah Papar, khususnya di kawasan Kampung Beringgis dan sekitarnya, selain mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai pusat latihan TVET berdaya saing di rantau ini.
Beliau turut berharap kampus tersebut mampu melahirkan ikon-ikon TVET baharu seperti Rudy Mohammad, alumni ABM Sabah dalam bidang Architectural Drafting yang diiktiraf sebagai Ikon TVET Pembinaan 2024 dan berjaya ke peringkat dunia.
Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ABM Sabah dengan tiga rakan strategik iaitu Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA), KTI Sdn Bhd dan Tas Institute of Oil & Gas bagi menjamin peluang pekerjaan nyata kepada graduan ABM dalam sektor perumahan, pembinaan serta minyak dan gas.
Hajiji turut mengumumkan pembinaan Dewan Masyarakat baharu di Kampung Beringgis yang akan dinamakan Dewan Tan Sri Osu Sukam sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mantan Ketua Menteri Sabah itu kepada negeri dan negara.






