KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengetuai kepimpinan negeri menghadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri 2025 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Seterusnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong serta barisan wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan azan, Solat Jumaat serta Solat Hajat bagi memohon keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negeri Sabah.
Program tahunan ini diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Sabah selain menjadi simbolik kesyukuran atas nikmat keamanan, kemajuan dan keharmonian yang terus dinikmati sejak pembentukan Malaysia.






