Sabah Bangunkan Hab Halal di KKIP

Sabah Bangunkan Hab Halal di KKIP

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh pembangunan industri halal negeri menerusi pembangunan Hab Halal di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) seluas 8.09 hektar sebagai antara usaha mewujudkan ekosistem halal yang lebih lengkap dan berdaya saing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, hab yang dibangunkan oleh Qhazanah Sabah itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga sedang meneliti keperluan untuk mewartakan Sabah Agro Industrial Park (SAIP) di Kimanis sebagai Hab Halal bagi industri retort di Sabah.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan ekosistem halal yang lengkap, daripada pengeluaran, pemprosesan dan pensijilan sehingga kepada pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Jelajah Halal Malaysia (JHM) Sabah 2026 anjuran Halal Development Corporation (HDC), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini, hari ini.

Ewon berkata, Kerajaan Sabah menghargai kerjasama HDC bersama kerajaan negeri serta pelbagai agensi dan rakan strategik dalam menjayakan program berkenaan yang disifatkan mampu memperkasakan usahawan tempatan dalam industri halal.

Katanya, inisiatif berterusan seperti JHM akan membantu lebih ramai usahawan Sabah menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi piawaian halal domestik serta antarabangsa.

“Saya juga berharap usahawan industri halal di Sabah dapat mengambil bahagian dalam ekspo-ekspo antarabangsa melalui bimbingan yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR),” katanya.

Menurut Ewon, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai negara nombor satu dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (Global Islamic Economy Indicator) selama 12 tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan kekuatan ekosistem halal negara.

Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kira-kira 9,000 syarikat di seluruh negara memiliki sijil halal, dengan sekitar 420 daripadanya berada di Sabah.

“Walaupun jumlah ini masih sederhana, saya yakin pelbagai perancangan yang dilaksanakan oleh MUIS Halal Hab bersama HDC akan dapat meningkatkan bilangan syarikat makanan dan minuman di Sabah yang memperoleh pensijilan halal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, DIDR dan SEDCOVEST turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan industri halal, termasuk menyediakan geran pensijilan halal serta dana renovasi premis bagi membantu usahawan memenuhi keperluan pensijilan.

Ewon berkata, MINDET akan terus memacu pembangunan usahawan tempatan termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan HDC serta pelbagai agensi berkaitan bagi memperkasakan industri halal Sabah.

Beliau berkata, kedudukan strategik Sabah dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur, selain kekuatan sektor pelancongan, pendidikan dan penyelidikan, memberikan potensi besar kepada negeri ini untuk muncul sebagai hab halal yang lebih maju pada masa hadapan.