Pengedar Syabu Cuba Rempuh Polis, Maut Ditembak

Pengedar Syabu Cuba Rempuh Polis, Maut Ditembak

0
SHARE
Viva
Kereta Viva yang digunakan seorang pengedar dadah yang cuba melarikan diri dengan merempuh dua anggota polis di tepi jalan ( Sumber Foto: Ihsan IPD Lahad Datu )

LAHAD DATU, SABAH – Seorang pengedar dadah yang cuba melarikan diri dengan merempuh dua anggota polis di tepi Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Phase 2, sini, ditembak mati semalam.

Suspek dikatakan mengundur kenderaan Perodua Viva dipandunya dan melanggar salah seorang anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu dalam kejadian jam 11.45 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, suspek kemudian membuat pusingan U dan memecut kereta dipandunya dengan melawan arus.

“Suspek turut melanggar seorang lagi anggota dalam pasukan yang cuba menghalang suspek.

“Bagaimanapun anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dilanggar.

“Suspek memecut kereta dipandunya namun kemudian dilihat terbabas pada jarak 400 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rohan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah jenis syabu.