‘Langgar’ di Silam – Calon PH muncul mengejut, Mizma anggap ia ‘kekacauan’...

‘Langgar’ di Silam – Calon PH muncul mengejut, Mizma anggap ia ‘kekacauan’ namun tidak goyah

0
SHARE

LAHAD DATU: Suasana politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DU) Silam menjadi semakin hangat apabila Abdul Halim Gulam Hassan muncul sebagai calon mengejut mewakili Pakatan Harapan (PH) semasa proses penamaan calon di Dewan Seri Perdana.

Kemunculan Abdul Halim — yang tidak pernah dilaporkan atau diramal sebelum ini — menarik perhatian ramai, terutama kerana beliau merupakan adik kepada calon GRS, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, yang bertanding di kerusi DU Tungku.

Abdul Halim bakal berdepan saingan sengit dalam pertandingan sembilan penjuru, termasuk dengan calon GRS, Datuk Mizma Appehdullah. Calon-calon lain terdiri daripada Sharif Musa Sharif Mabul (BN), Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (BEBAS), Mohammad Enriquez (SAPP), Brahim Biesel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).

Pertembungan ini satu ‘kekacauan’ tetapi GRS tidak terjejas

Mengulas pertembungan GRS–PH di Silam, Mizma menyifatkannya sebagai satu “kekacauan”, namun menegaskan bahawa ia tidak sekali-kali menjejaskan sokongan terhadap GRS.

Menurut beliau, kekacauan itu tercetus kerana PH tidak menghormati hasil rundingan GRS–PH yang telah dibuat sebelum ini.

Walaupun begitu, Mizma berkata jentera GRS kekal bersiap siaga.

“Kita raikan pertembungan ini sebagai sistem demokrasi di negara kita. Saya yakin dengan persiapan jentera kita,” katanya.

Beliau turut berpandangan situasi ini terlihat sebagai ‘kekacauan’ namun sebenarnya memberi GRS kelebihan dari segi perancangan strategi.

“Biarkan rakyat memilih. Saya yakin rakyat tahu mana parti atau gabungan yang benar-benar berjuang untuk rakyat,” ujarnya.

Mizma menegaskan bahawa GRS telah membuat perancangan rapi dan jentera parti akan terus bergerak seperti dirancang bagi memastikan kemenangan mereka di DU Silam.