USUKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim, menegaskan komitmennya untuk memberi tumpuan penuh terhadap penambahbaikan kemudahan asas di kawasan itu sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17.
Japlin berkata, peluang yang diberikan akar umbi untuk kembali mewakili GRS di Usukan merupakan satu amanah besar, selepas kali terakhir beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat pada tahun 2020.
Justeru, beliau bertekad memastikan setiap keperluan rakyat di kawasan itu diberi perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, terdapat banyak isu asas yang masih memerlukan tindakan segera termasuk keadaan jalan kecil di kampung, bekalan elektrik yang lebih stabil serta akses air bersih yang perlu diperluas dan dipertingkatkan.
“Sudah tentulah sebagai wakil rakyat, insya-Allah sekiranya diberi mandat oleh rakyat sekali lagi, inilah impian kita: untuk memastikan usaha membela dan memperbaiki prasarana serta keperluan asas ini dapat dipertingkatkan dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama penduduk setempat.
Japlin turut menegaskan komitmennya untuk kekal dekat dengan masyarakat dan memastikan setiap perancangan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk Usukan.
Beliau berkata, hanya melalui kerjasama erat dengan rakyat di peringkat akar umbi, pembangunan yang berkesan dan mampan dapat dicapai demi masa depan yang lebih baik bagi Usukan.






