KUALA LUMPUR: Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla dari semua platform digital susulan kebimbangan masyarakat mengenai penampilan ahli kumpulan itu yang dianggap tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti penonton.
Keputusan itu diambil selepas syarikat berkenaan menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai, termasuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata pihaknya melakukan penelitian menyeluruh terhadap kandungan video tersebut sebelum mengambil keputusan menurunkannya sebagai langkah bertanggungjawab.
“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya kreativiti dan ekspresi seni perlu berjalan seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah wajar bagi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.
Universal Music Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk memperketat proses semakan kandungan kreatif pada masa akan datang, melibatkan konsultasi profesional dan penelitian dalaman bagi mengelakkan isu sama berulang.
Pihak syarikat dalam masa yang sama merakamkan penghargaan kepada peminat dan masyarakat kerana memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap situasi ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tanah air.






