BANDAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan calon-calon wanita GRS untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, sambil menegaskan kepentingan untuk mempertahankan kerajaan sedia ada demi kesinambungan pembangunan.
Menurut beliau, penyertaan aktif wanita dalam politik bukan sahaja menunjukkan kekuatan dan kesungguhan mereka, tetapi turut memperkukuh kestabilan politik negeri.
“Saya mengharapkan calon-calon wanita khasnya daripada GRS, insyaAllah, semua akan menang. Yang paling penting ialah kita mempertahankan kerajaan GRS,” katanya ketika ditemui dalam siri kempen di Bandau.
Redonah berkata, kesinambungan Kerajaan GRS amat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan efisien.
Beliau menegaskan bahawa pelbagai inisiatif rakyat dan projek infrastruktur kini sedang berjalan dan memerlukan kerajaan stabil untuk disempurnakan.
“Pelan-pelan pembangunan Sabah Maju Jaya sudah bergerak. Jika kerajaan ini diteruskan, ia bukan sahaja dapat diteruskan, tetapi akan ditambah lebih baik. Sudah semestinya rakyat Sabah yang akan menikmati hasilnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik merupakan asas kepada kemajuan berterusan negeri, khususnya dalam memastikan pembangunan di peringkat daerah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita memerlukan kerajaan yang stabil. Sebab itu kita perlu bekerja keras untuk memastikan kerajaan GRS dipertahankan dan menang dalam PRN Sabah ke-17 ini,” ujarnya.
Sebagai calon yang sinonim dengan masyarakat Bandau, Redonah menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat setempat ke peringkat negeri, di samping memastikan agenda pembangunan daerah terus menjadi fokus utama.
“Dengan sokongan rakyat Bandau, kita bukan sahaja mempertahankan kerusi ini, tetapi memastikan masa depan Sabah terus berada di landasan yang kukuh,” katanya selepas bertemu jentera kempen di Kampung Bintasan Laut, Kota Marudu.






