Dr Ritchie Tinggalkan Gagasan Rakyat, Tanding Bebas di Tanjung Aru

Dr Ritchie Tinggalkan Gagasan Rakyat, Tanding Bebas di Tanjung Aru

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dr. Ritchie Jay Cheng mengesahkan dirinya antara lima pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang meninggalkan parti untuk bertanding sebagai calon bebas dalam saingan sembilan penjuru di kerusi N22 Tanjung Aru pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas menilai hala tuju politik parti yang menurutnya tidak lagi seiring dengan prinsip dan integriti peribadi. 

“Saya tidak mahu berada dalam sistem yang memaksa saya mengutamakan parti berbanding rakyat. Kalau prinsip saya diganggu, lebih baik saya berdiri sendiri,” katanya.

Dr. Ritchie menegaskan pemilihannya bertanding bebas adalah kerana ingin membawa tawaran politik yang bebas tekanan serta berteraskan integriti dan kepakaran profesional.

Beliau memiliki Ijazah Undang-Undang dari University of London, DIJAP, MBA serta PhD dalam Perbankan dan Kewangan Islam dari Universiti Malaysia Sabah.

Pengalaman beliau sebagai Pengerusi MACMA Sabah dikatakan meberi kelebihan dalam memimpin masyarakat muslim dengan pemahaman lebih luas tentang keperluan sosial dan perpaduan.

Visi beliau untuk Tanjung Aru berpusat pada tiga agenda utama iaitu memperkasa golongan muda, memacu ekonomi biru dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta serta institusi pendidikan.

“Tanjung Aru mempunyai tenaga muda luar biasa. Mereka perlukan platform untuk berkembang, bukan sekadar janji bermusim,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kedudukannya sebagai calon bebas memberi ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak tanpa kompromi terhadap kepentingan rakyat.

“Saya tidak terikat pada arahan parti. Saya hanya terikat pada amanah rakyat,” katanya.